Sabtu, 15 Januari 2011

Pedoman: Golongan cerdik lekas beramal, taubat

DIRIWAYATKAN oleh Imam Tarmidzi, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang cerdik adalah mereka yang menghitung amalan diri sendiri dan melakukan setiap sesuatu untuk selepas matinya. Manakala orang yang cuai pula adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya tetapi pada masa sama, mengharapkan pelbagai anugerah daripada Allah SWT.”
Sebagaimana dinyatakan hadis ini, diketahui bahawa antara ciri orang cerdik adalah mereka sedar mengenai matlamat hidup di dunia dengan sentiasa bermuhasabah diri dan melihat kekurangan, seterusnya bertindak mengatasi kekurangan itu.

Bagi orang yang cuai pula, mereka sebenarnya tergolong dalam kumpulan yang kufur kepada nikmat yang Allah SWT berikan. Malah, kekufuran dirinya boleh dilihat apabila melakukan dosa, mereka tetap inginkan Rahmat dan petunjuk daripada Allah tanpa mahu memperbetulkan diri.
Rasulullah SAW pernah bersabda, dua ciri utama orang yang cuai adalah mereka sentiasa mengikut hawa nafsu dan apabila setiap kali melakukan kemungkaran itu juga, dia akan mengingati Allah tetapi tidak mahu meninggalkan kemungkaran itu, sebaliknya berharap mereka mendapat petunjuk satu hari nanti.

Sebenarnya, dalam tidak sedar, ramai umat Islam melakukan kemungkaran sama ada sengaja atau tidak, khususnya dalam mengerjakan tuntutan Rukun Islam, paling ketara dalam menunaikan solat lima waktu.

Ramai yang lalai akibat terlalu mengejar masa dalam kehidupan dan pekerjaan, sedangkan masa yang perlu dikejar itu sepatutnya diisi dengan amalan kepada Allah SWT.
Begitu ramai yang tidak menyedari, sebenarnya mereka dilalaikan dengan 
kehidupan dunia, dilalaikan oleh hawa nafsu dan hasutan serta 
bisikan syaitan yang sememangnya meminta manusia melambatkan
 dalam mengerjakan amalan, seterusnya meninggalkan amalan berkenaan.

Malah, lebih teruk lagi, ada yang sanggup melambatkan waktu taubat 

mereka sedangkan pada waktu itu mereka menyedari melakukan kesalahan.

Allah SWT menerusi surah Az-Zumar, ayat 53 dan 54 berfirman, bahawasanya:
 Katakanlah: “Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka 
sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada Rahmat Allah.


 Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya 
Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah 
kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum 
datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” 
Menerusi firman Allah ini, dapat disimpulkan,
 orang yang cerdik apabila melakukan kesalahan dan sedar mengenainya, mereka 
akan segera melakukan taubat.

Di dalam Islam, kita diajar mengatur kehidupan di dunia supaya dapat 

memberikan pulangan dan manfaat maksimum di dunia serta akhirat.
Orang yang sentiasa merancang akan sedar betapa berharganya masa.
 Setiap jam,setiap minit berharga bagi mereka. Kerana masa yang
 pergi tidak akan kembali.
Masa untuk dirinya digunakan untuk bekerja mencari nafkah, 
menuntut ilmu untuk
 memajukan diri, berehat, tidur, makan dan minum. Masa untuk keluarganya
 digunakan sebaik- baiknya untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, dan
 membantu ahli keluarga.

Masa untuk masyarakatnya digunakan untuk menolong mereka yang susah,

 menaikkan taraf dan kedudukan masyarakat dan negara.
Dan akhirnya, apabila tiba masa untuk amalan kepada Allah SWT, tidak akan 
disia-siakan mahupun melambatkan setiap suruhan yang wajib dilaksanakan.
Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah diri dan mengelak menjadi lalai dan
 sama-sama mendapat Rahmat dan keredaan Allah SWT di dunia mahupun akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan