Jumaat, 8 April 2011

Elak riak dalam ibadat

SEGALA amalan yang kita lakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, menolong orang susah dan belajar perlu diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah.
Sekiranya niat kita bercampur dengan perasaan riak, mahu dipuji, kerana pangkat, mengharapkan habuan tertentu bermakna kita sudah tersasar daripada reda dalam mentaati Allah. 
Kita berniaga tetapi sering lalai dalam menunaikan ibadat wajib seperti solat, mengeluarkan zakat jadi semua itu perkara sia-sia. Ia tidak tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

Perasaan riak juga boleh menjadikan amalan kita menjadi sia-sia. Malah, perkara itu seperti menipu diri sendiri, dan mengotorkan jiwa.

Allah sangat murka pada mereka yang hidupnya menunjuk-nunjuk, mengampu dan mengambil kesempatan hakikatnya tidak dapat bertahan lama, lambat-laun tembelangnya pecah juga
Rasulullah menyatakan, riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud:
 “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

Pengertian riak adalah beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Ada manusia yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila ingin dilihat orang lain.

Baginda bersabda maksudnya:

“Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”
 Makna ikhlas merujuk kepada sesuatu perbuatan dan tanggungjawab dengan kesengajaan hanya kerana Allah, tidak bermuka-muka dan tidak mengharapkan pujian manusia.
 Dalam budaya kerja, ikhlas adalah melakukan tugas kerana menunaikan tanggungjawab tanpa mengampu atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
 Sering kali makna kerana Allah kabur dan tidak jelas. Niat kerana Allah juga bermakna bersama Allah. Justeru, ikhlas membawa makna kualiti kerana rasa diperhatikan Allah sebab Allah sentiasa bersama.

Bagaimanakah perasaan seorang pekerja apabila kerjanya diperhatikan majikannya? Sudah tentu dia buat dengan sungguh-sungguh iaitu penuh dengan kualiti.
 Orang Islam sepatutnya lebih cemerlang daripada bukan Muslim kerana mereka terikat dengan peraturan pejabat dan tuntutan budaya kerja cemerlang yang disarankan Islam.
 Berikut adalah petanda yang menjadi ukuran sebenar keikhlasan supaya dapat menjauhkan diri daripada bersifat riak antaranya:

l Tidak mengejar publisiti, melakukan kerja bukan hendak dipuji tetapi menunaikan tugasnya dan bila dipuji tidak lupa diri.



  • Tidak suka menyalahkan orang lain. Orang ikhlas kerap menyalahkan diri sendiri.


  • Bekerja senyap jauh daripada sorotan, mereka berkorban tanpa mengungkit. Mereka laksana akar kepada pokok, tertanam di dalam tanah tanpa orang nampak.


  • Tidak lokek untuk memuji orang yang patut dipuji. Mengucap tahniah kepada mereka yang wajar dihargai jasanya. Dalam konteks ini manusia selalu berhadapan dengan dua kelemahan. Pertama, memuji dan memuja orang yang tidak berhak. Kedua, tidak menghargai dan memuji orang yang patut dipuji. Rasulullah walaupun manusia yang paling sempurna tidak lokek memuji Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali.


  • Bekerja tanpa mengira kedudukan, baik sebagai pemimpin atau sebagai pengikut seperti kisah Khalid al-Walid.


  • Gembira dengan kemunculan tokoh baru dan bersedia memberi laluan kepada mereka membuktikan kebolehan dan kepakaran tanpa diganggu-gugat, dicemburui sebab orang tidak ikhlas biasanya gelisah dengan kemunculan tokoh baru.


  • Sabar dan istiqamah sepanjang masa, tidak lemah semangat, tidak buat ala kadar sebab pendorongnya kerana Allah bukan kerana manusia. Jika buat kerana orang, bila dipuji rajin, bila dikeji malas.

    Justeru, keikhlasan hati itu menjadi pedoman kepada seseorang dalam melakukan apa saja pekerjaan. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan sudah pasti hatinya tidak mudah patah atau putus harapan sehingga mencapai apa yang dicita-citakan.
  • Ahad, 3 April 2011

    Maafkan kami ya Rasulullah

    NI hanyalah satu muhasabah bukan realiti dan harap ia tidak menjadi kontroversi. Bayangkan apabila Rasulullah dengan izin Allah tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.
    Ketika itu Baginda datang dengan tersenyum dan muka yang berseri-seri di hadapan pintu rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Mesti kita menjadi sangat terkejut, memeluknya erat-erat lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu. Kemudian kita tentunya akan meminta agar Rasulullah sudi menginap beberapa hari di rumah kita. Tapi barangkali kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di depan pintu kerana teringat VCD 18+ atau lukisan wanita separuh bogel yang melekat di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa memindahkan semuanya ke belakang dengan tergesa-gesa kemudian menggantikan khat nama Allah dan Muhammad yang tersimpan dalam almari dan kita meletakkannya di ruang tamu.

    Apa agaknya Rasulullah katakan jika baginda tahu semua itu? Bagaimana pula jika Rasulullah bersedia menginap di rumah kita? Barangkali kita menjadi malu kerana tidak mengetahui sedikitpun sejarah Rasulullah s.a.w, keluarga dan sahabatnya. Kita terpaksa menukar ruang tamu menjadi ruangan solat, malah segera mencari pakaian solat, kopiah, serban dan al-Quran. Manakala bagi anak isteri, kita terus belikan pakaian menutup aurat demi menutup malu selama ini kita berpakaian tidak menutup aurat .
    Apa agaknya rasa Nabi dengan perlakuan dan lakonan kita itu? Belum lagi koleksi buku-buku, kaset dan karaoke kita. Ke mana kita harus menyingkirkan semua koleksi itu demi menghormati junjungan kita? Sudah tentu kita menjadi malu kerana kita tidak pernah ke masjid meskipun azan berkumandang. Kita juga pasti malu kerana pada waktu Maghrib keluarga kita masih sibuk di depan televisyen. Kita hanya menghabiskan hampir seluruh waktu untuk mencari kesenangan duniawi. Sudah tentu juga kita berasa malu kerana keluarga kita tidak pernah menunaikan solat sunat, sangat jarang membaca al-Quran dan tidak mengenal jiran tetangga kita.

    Sudah tentu kita malu jika Rasulullah menanyakan kepada kita siapa nama tukang sampah yang setiap hari lewat di depan rumah kita.

    Justeru, bayangkan apabila Rasulullah tiba-tiba muncul di depan rumah kita. Apa yang akan kita lakukan? Masihkah kita memeluk junjungan Nabi kita itu dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita? Atau akhirnya dengan berat hati, kita menolak kunjungan baginda kerana hal itu akan sangat membuat kita segan dan malu. Maafkan kami ya Rasulullah. Oh betapa memalukannya kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah. Itu belum lagi kalau hendak kira cara kita mencari duit, membina keluarga, cara kita berpolitik, berniaga dan segala perlakuan kita yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Layakkah kita bergelar umat Muhammad, dan layakkah kita mendapat syafaat Nabi di hari akhirat nanti?