Rabu, 17 November 2010

BERSANGKA BAIK NIAT ORANG BERKORBAN

ORANG yang berkorban akan dikurniakan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorban. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu dan darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT.
Mungkin kesedaran dan pemahaman daripada beberapa janji Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat korban, antaranya seperti di atas, telah menimbulkan keinsafan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesedaran umat Islam dalam penganjuran majlis korban di negara ini setiap tahun.

 Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu.

Ayat ini jelasnya, memperingatkan tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat adalah sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain.
Justeru itu ulama Islam menegaskan: "Kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."

"Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi. Apa pun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya," 


Apabila masyarakat Islam semakin ramai berkorban menyembelih ternakan kita perlu menafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.

Malah perlu difahami, meninggalkan satu amalan kerana takut riak, itu merupakan satu riak seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.
"Kesimpulannya, kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Pada masa sama, kita mengajak mereka membetulkan niat berkorban kerana Allah.


"Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama berusaha perbetulkan niat kamu," 

Menurut , kisah korban bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hampir dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi umat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.
"Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan Ismail kepada Allah. Ini cerita akidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezeki dan menghidup serta mematikan manusia.
"Apabila berhadapan dengan perintah Allah, manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezeki yang diberikan oleh Allah. Maka inilah pengajaran cerita pengorbanan Ibrahim - ketaatan mutlak kepada Allah tanpa bantahan."



"Amalan Islam tidak diukur dengan logik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya.
"Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bantahan.
"Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan menjangkau apa yang kehadapan? Logik akal dijadikan ukuran sedangkan logik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak logik pada satu zaman, menjadi logik pada hari ini kerana perkembangan ilmu manusia.
"Seorang Mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Tetapi seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah," 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan